วันจันทร์ที่ 12 พฤษภาคม พ.ศ. 2551

Pertahan kedaulatan - Kongres Permuafakatan Melayu tubuh sekretariat tetap


IKRAR... Para peserta Kongres Permuafakatan Melayu membaca ikrar yang terkandung dalam resolusi pada hari terakhir kongres itu di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 4 Mei – Kongres Permuafakatan Melayu yang berakhir di sini hari ini sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap dikenali Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein berkata, sekretariat itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

“Harus difahami, jika kerajaan tidak mengendahkan dan mengambil kira serta tidak melaksanakan satu pun pandangan kongres ini, ia seolah-olah kerajaan menolak suara akar umbi,” katanya.

Menurut Ismail, meskipun sekretariat itu tidak mempunyai kuasa eksekutif, ia akan membina saluran untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Pada prinsipnya kita akan jadikan MMMM sebagai tempat rujukan dan wadah rasmi bagi menggerakkan apa juga resolusi yang telah kita persetujui dalam kongres yang berlangsung selama tiga hari,” ujar Ismail pada sidang akhbar selepas mengumumkan resolusi yang dicapai pada Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Katanya: “Keputusan menubuhkan MMMM dibuat setelah mengambil kira suara-suara daripada sebahagian 2,100 peserta yang mewakili 200 NGO yang menyertai kongres ini.

“Mereka mahu MMMM berfungsi sebagai sebuah sekretariat. Penubuhan badan ini merupakan sebahagian daripada ikrar yang terkandung dalam resolusi kongres.”

Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar, dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Serene di sini petang ini.

Ia mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan,

sosial dan budaya termasuk syor menubuhkan MMMM.

Ismail yang juga Pengerusi Kongres Permuafakatan Melayu yakin semua resolusi yang dimaktubkan dalam kongres itu akan dijadikan pegangan masyarakat Melayu dan diguna pakai oleh kerajaan.

“Walaupun kongres bertemakan ‘Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa’ ini digerakkan oleh NGO Melayu yang terdiri daripada para budayawan, ilmuwan, teknokrat, ahli perniagaan, usahawan, peniaga kecil dan orang ramai, kami yakin suara-suara kami yang mewakili peringkat akar umbi akan didengari oleh kerajaan,’’ katanya.

Menurut beliau, keyakinan itu diperkukuhkan dengan pengalaman beberapa kongres yang pernah diadakan sebelum ini apabila kerajaan mengambil kira pandangan yang dicadangkan dalam kongres-kongres itu untuk membantu melaksanakan agenda perjuangan bangsa dan agama.

Beliau memberikan contoh, menerusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang diadakan pada tahun 1956, kerajaan bersetuju menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ditanya bagaimana Kongres Permuafakatan Melayu dapat menyuarakan kepentingan Melayu di Pulau Pinang yang kini dipimpin oleh kerajaan bukan Melayu, beliau berkata, pihaknya akan menggunakan cara terbaik untuk menyampaikan tuntutan Melayu.

“Jika mereka ingin menjadi pemimpin yang baik, mereka perlu menjaga kepentingan semua (kaum) dengan sebaik mungkin,” ujar Ismail.

Petikan dari UTUSAN MALAYSIA

ไม่มีความคิดเห็น: