Evolusi Yang Kejam?
Selama enam dekad, sejak Perjanjian 1948 menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu yang menamatkan Malayan Union, psikik bangsa Melayu terpahat dengan keyakinan bahawa negara ini akan sentiasa dikuasai dan diperintah oleh orang Melayu.
Sejak 1955, iaitu kali pertama orang Melayu mengenali Pilihan Raya Umum (PRU) dengan penuh keraguan akan implikasinya, parti United Malays National Organisation (UMNO) dengan rakan kongsi kuasanya Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC) terus memenangi mandat. Sejarah PRU itu terus berlaku dengan natijah turun naik bagi setiap parti politik pesertanya. Negara terus berubah daripada Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Malaysia.
Pelbagai isu mendorong perjalanan PRU berikutnya. Keruncingan isu perkauman membawa kepada pergolakan kaum pada 13 Mei 1969 yang menyebabkan penubuhan Majlis Gerakan Negara bagi mengembalikan pemerintahan demokrasi. Peristiwa 13 Mei kekal sebagai "tugu" sejarah demokrasi liberal disalah-gunakan dengan membangkit isu perkauman yang sensitif kepada bangsa Melayu tanpa rasa tanggungjawab.
Sejak itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadi asas teras bagi manifesto UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Dasar revolusioner itu membangunkan psikik keyakinan bangsa Melayu untuk terus berkuasa di negaranya dan memimpin Malaysia ke arah kemajuan unggul.
Untuk tiga dekad berikutnya hingga akhir abad ke-20, keyakinan itu lebih padu dan teguh dengan keupayaan Perdana Menteri (PM) Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) membawa pemodenan dan pembangunan bangsa.
Konflik peribadi pemimpin dan isu politik sering membuka jurang pergolakan bangsa. Dunia global juga mula menerobos keyakinan bangsa dan negara hingga mengancam kesejahteraan. Namun Dr Mahathir dapat memintas kuasa luar terutama The Washington Concensus yang lain ingin menguasai ekonomi negara asing melalui International Monetary Fund (IMF).
Malaysia mengalami kegawatan ekonomi yang serius dan membawa kesan politik serta kepimpinan UMNO yang parah. Berlaku lagi perpecahan kepimpinan antara Dr Mahathir dengan Anwar Ibrahim yang melimpah ke dalam PRU ke-10 pada 1999. Untuk pertama kali UMNO dan BN mengalami kejatuhan mandat hingga menggugat kepemimpinan Dr Mahathir kerana "faktor Anwar" dalam PRU ke-10. Anwar diserang ketika di penjara dan menjadi isu pilihan raya yang membawa kesan parah kepada UMNO. Sebahagian besar kerusinya dan negeri Terengganu jatuh ke tangan PAS. Itulah amaran pertama akan kelemahan UMNO dan BN dalam menangani emosi pemilih.
Dr Mahathir meletakkan jawatan pada Ogos 2003 untuk memberikan "laluan" kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menjadi PM. Dengan slogan "bekerja bersama saya" PRU ke-11 pada 2004 membuktikan mandat yang amat mengagumkan terhadap pimpinan Pak Lah. Pihak pembangkang melalui Barisan Alternatif tidak dapat menggugat menifesto Pak Lah. Sehingga ketiga-tiga anggota BA hampir lumpuh.
Keyakinan inilah yang dibawa dalam jiwa UMNO dan BN ketika Pak Lah melancarkan PRU ke-12 pada 8 Mac 2008. Namun sepanjang tempoh PRU ke-11 yang lalu telah muncul pelbagai isu yang amat menggugat kesejahteraan dan kesenangan warganegara Malaysia.
Pak Lah ternyata ingin kembali kepada suasana liberal zaman Tunku Abdul Rahman yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei. Ruang ini digunakan oleh pelbagai pihak untuk mempersoalkan undang-undang paling dasar dalam negara, Perlembagaan Malaysia yang memberikan kedudukan istimewa kepada bumiputera.
Pelbagai isu mula dipersoalkan secara terbuka dan cukup bebas sehingga banyak orang berasa tidak senang dengan "keterbukaan" itu. Namun Pak Lah bertegas dengan keinginan beliau untuk "berbincang dalam akhbar, jangan bergaduh di jalan raya".
Pada masa yang sama kenaikan harga minyak terus menggugat kesejahteraan negara. Kenaikan harga barangan pengguna menjadi sumber yang amat subur untuk dipermainkan sebagai isu dalam PRU ke-12.
Pada saat akhir sebelum PRU ke-12 diisytiharkan, slogan teras negara adil dan beretika yang selama ini dipegang hebat oleh Pak Lah tercabar dengan pendedahan "rasuah" dalam kalangan bekas Ketua Hakim Negara. Begitu juga dengan cara kerajaan menangani peristiwa perarakan kaum India yang didalangi kumpulan Hindraf memberikan kesan yang buruk kepada imej BN dan Pak Lah di mata orang Melayu.
Semua ketidakpuasan ini digembleng sepenuhnya oleh Barisan Alternatif (BA) - terutama DAP, PKR dan PAS. Dalam tempoh yang sama Anwar Ibrahim kembali aktif sebagai penasihat PKR yang membawa kempen yang lama sebelum PRU ke-12 diisytiharkan.
Dalam pada itu, DAP menggembleng strategi lama, dalam rangka "Malaysian Malaysia" mereka dan membangkitkan isu tidak puas hati kaum Cina terhadap peranan second fiddle dan menuduh parti Cina dalam BN hanyalah merupakan "jari-jari" bagi UMNO. Mereka hanya membantu UMNO untuk menangani orang Cina.
DAP terus mempermainkan emosi orang Cina supaya menjauhkan diri dari UMNO dan sekali gus juga parti Melayu itu. Cukup kaut bujukan dan hasutan DAP itu menyerap ke dalam hati orang Cina sehingga mereka termakan dengan bisikan itu dengan kesan yang amat pahit kepada UMNO dan BN.
Demikianlah PRU ke-12 berlangsung dalam suasana yang penuh persoalan dan tanda tanya dengan natijah yang paling buruk dalam sejarah UMNO dan BN. UMNO dan BN tidak dapat merasa denyut nadi bangsa yang telah lama bergolak dan tidak puas hati terhadap banyak perkara.
Persiytiharan secara konkrit pelan pembangunan lima buah wilayah di seluruh negara oleh Pak Lah tidak membawa makna yang signifikan kepada rakyat terbanyak. Hanya sebanyak 140 kerusi Parlimen, memperlihatkan begitu banyak pemimpin UMNO, MCA dan MIC tewas. Empat buah negeri jatuh ke tangan pakatan BA dan pakatan PAS-PKR selain meneguhkan pegangan PAS di Kelantan.
Apakah makna segala ini?
Jika diandaikan bahawa kemenangan ini adalah lebih merupakan kejayaan DAP dan sebahagiannya PKR yang amat liberal di bawah pimpinan Anwar yang kembali sebagai faktor penting dalam pilihan raya ini, maka implikasi utama ialah pencapaian cita-cita DAP di Malaysia melalui gagasan "Malaysian Malaysia".
Selama hayat DAP sejak wujud pada dekad 1960-an adalah untuk merealisasikan "kesamaan hak" semua kaum di Malaysia meskipun Perlembagaan Malaysia memperaku hal itu. Namun mereka ingin menghapuskan beberapa fasal dari Perlembagaan itu termasuk bahasa kebangsaan, hak istimewa, dan layanan khusus kepada kaum bumiputera. Hanya pada akhir-akhir ini sahaja DAP menerima kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Dengan cita-cita itu selamanya DAP mempersoalkan "keistimewaan Melayu" dan tindakan parti UMNO untuk melaksanakan Perlembagaan Persekutuan melalui dasar-dasar yang sewajarnya. Pembentukan pelbagai dasar awam berkaitan dengan pendidikan, bahasa dan kebudayaan, agama Islam, ekonomi dan pentadbiran negara telah menjadi sasaran DAP.
Oleh sebab itu, dengan kejayaan DAP memerintah Pulau Pinang, serta mendapat suara majoriti yang besar di Selangor dan Perak, adakah segala yang menjadi pegangan sakral dan mulia bangsa Melayu akan secara perlahan dilupuskan sehingga hanya tinggal nama sahaja?
Adakah akan berlaku perubahan radikal terhadap Perlembagaan Persekutuan yang mempertahankan kedudukan keistimewaan bumiputera dan memberi hak seimbang kepada kaum lain? Bagaimana pula halnya dengan segala institusi bumiputera dalam pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau malah kuota universiti berlandaskan kependudukan tergugat kerana ada elemen Melayu sendiri yang kuat menentang "keistimewaan" itu seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?
Dalam jangka panjang, apakah PRU ke-12 membayangkan masa depan Malaysia, UMNO dan BN yang berubah secara radikal bagai dilanda tsunami politik sehingga jatuh menjadi hanya parti pembangkang yang lemah dan hilang semangat? Bibti-bibit masa depan yang kabur itu telah kelihatan dalam evolusi politik yang amat kejam kepada bumiputera. (zk)